ISLAMIC

BISMILLAH..

S E L A M A T D A T A N G B L O G I S L A MIC

INSYALLAH BLOG INI,

dapat berkongsi dengan anda tentang ilmu islam..ilmu lagi

banyak kita ada,lagi luas pemikiran kita..insyallah..

Jumaat, 17 Disember 2010

Banteras Rasuah

Rasuah bukan suatu fenomena baru dalam negara kita, fenomena ini makin hari makin membarah dalam masyarakat. Keadaan ini seakan tidak ada jalan untuk dihapuskan, seolah-olah rasuah sudah sebati dengan dunia masyarakat kita umumnya. Jika ini berlaku maka tunggulah saat kehancuran negara yang dicintai ini.
Persoalannya kenapa rasuah di negara kita ini telah mencetuskan suatu fenomena? Fenomena ini bukanlah suatu fenomena rasuah yang melibatkan wang semata-mata, malah melibatkan aspek-aspek penyelewengan dan salah guna kuasa seperti mana yang telah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).
"Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarqh: Ayat 188)
Sifat, Sebab dan Fungsi Rasuah
Sifat asal rasuah adalah tidak menyeleweng daripada orang yang menindas dan orang yang ditindas, hal ini menjadikan orang yang ditindas diperlakukan dengan zalim,  sebagai contoh mudah sifat ini boleh dilihat dengan perlakuan anggota polis meminta rasuah daripada seorang pemandu kereta untuk tidak mengenakan saman kerana tidak mempunyai lesen memandu. Sifat yang kedua adalah perlakuan rasuah itu dijadikan suatu sumber yang menguntungkan kedua-dua belah pihak, sifat inilah yang menjadikan perasuah tertarik dengan sumber yang akan diperolehinya.
Kedua-dua sifat ini bila diamati mempunyai satu persamaan ketara iaitu menimbulkan situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak. Walaupun penindasan itu dirasai namun ianya terhapus dengan keuntungan yang bakal diperolehi. Sifat-sifat inilah yang menjadi pendorong kepada perasuah agar melakukannya dan menjadi asbab yang utama dalam perlakuan rasuah.
Fungsi-fungsi sesuatu kuasa itu diguna pakai disebabkan oleh dorongan sifat-sifat itu tadi dan inilah yang dinamakan salah guna kuasa. Fungsi kuasa dicetuskan ke arah salah guna kuasa disebabkan oleh momentum sifat-sifat yang mempunyai daya keuntungan yang luar biasa. Biasanya hal ini berlaku kepada golongan pegawai yang mempunyai kuasa meluluskan sesuatu.
Inilah beberapa maksud yang mempunyai rangkaian antara sifat, sebab dan fungsi kenapa terjadinya rasuah di kalangan masyarakat. Terlalu sukar untuk mencetuskan fenomena baru dalam dunia rasuah ini jika sifat, sebab dan fungsi rasuah  tersebut tidak dibendung dalam kalangan masyarakat.
Banteras Rasuah
Oleh sebab itu, tiada jalan lain yang memungkinkan kita untuk membanteras rasuah dari akar umbi selagi Islam itu belum menjadi suatu cara hidup masyarakat Muslim khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
Ibarat lampu isyarat yang dipasang di tepi jalan raya adalah untuk mengawal lalu lintas. Begitu juga Islam telah diturunkan dengan berpandukan kitabnya yang suci (al-Quran) adalah bukannya untuk menghalang semua aktiviti manusia, turunnya al-Quran adalah untuk mengawal manusia daripada melakukan sesuatu yang buruk, Allah Taala Maha Mengetahui setiap langkah baik dan buruk hamba-hambanya. Sebab itulah al-Quran diturunkan demi kemaslahatan manusia sekaliannya.
Hukuman yang telah ditetapkan dalam Akta SPRM 2009 adalah dirangka sebagaimana Al-Quran diturunkan namun ianya tidak cukup kebal untuk mencegah masyarakat dalam menangani rasuah. Hukuman berkesan tidak hanya dilihat kepada beratnya hukuman tersebut kerana hukuman berat hanya mampu menyakitkan tubuh dan mendera fizikal dan mental , sedang apa yang penting dalam usaha membendung jenayah rasuah ialah keinsafan, penyesalan dan kesedaran agar jenayah rasuah itu tidak berulang dan berkembang . Bertolak daripada sinilah Islam menawarkan pakej lengkap dan berkesan  merangkumi fizikal, mental dan spiritual  untuk tujuan membendung dan menghapuskan jenayah.
Pendidikan, pencegahan, kawalan dan hukuman serta pembelaan dan pendakwaan adalah suatu pakej lengkap yang terkandung di dalam Islam dan seharusnya Islam diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan keupayaan dan keberkesanan perlaksanaannya.
Kebanyakan masyarakat Muslim yang tidak mempunyai kesedaran Islam tidak akan mempunyai asas kukuh bagi menghindari diri daripada jenayah rasuah sekiranya akidah sang Muslim itu belum berdiri teguh dalam dada mereka. Tiada yang boleh menjamin kita tidak akan menerima dan memberi rasuah sekiranya kesedaran itu hanya kesedaran semata-mata, kerana kesedaran itu boleh luput pada bila-bila masa, sedangkan kesedaran yang bersandarkan akidah yang teguh akan kekal selama-lamanya.
Justeru, jenayah rasuah memerlukan suatu aspek pencegahan yang menyeluruh dan berstrategi menggunakan garis-garis panduan yang telah terkandung di dalam al-Quran. Sewaktu membincangkan penyelesaian terhadap isu seperti ini, janganlah ianya dibuat dengan mengambil pandangan orang ramai secara rambang lantaran isu ini mestilah melibatkan kajian dan penelitian orang-orang yang berilmu . Para alim ulama yang berkaliber mestilah dilibatkan secara serius dan aktif untuk mengkaji dan menggubal peraturan berasaskan syarak.
Selagi mana Islam dilihat asing di mata penganutnya selagi itulah jenayah rasuah ini sukar untuk dibendung. Islam diturunkan untuk kesejahteraan manusia, barat banyak memomokkan Islam dengan keganasan sehingga penganutnya sendiri sukar untuk memahami Islam itu sendiri. Inilah suatu perancangan rapi yang dilakukan barat kepada seluruh umat Islam seluruh dunia agar akidah umat Islam terhakis ibarat menitik air di batu, lama-lama batu berlekuk. Umat Islam harus bangun dari lena dunia, bangun membangkit diri mendalami ilmu agama.
Resolusi Perubahan
Pendidikan adalah aspek terpenting dalam mendidik masyarakat dan tidak hairanlah apabila kerajaan Malaysia, pada setiap tahunnya telah memperuntukkan bajet yang banyak kepada sektor pendidikan, namun sejauh mana bajet itu diguna pakai untuk menjana pemikiran masyarakat agar memahami agama dan moral. Bukan sahaja rasuah, malah jenayah-jenayah lain yang timbul bagai cendawan tumbuh sesudah hujan menjadi semakin lebat, lihat sahaja gejala zina, rogol, buang bayi, dadah, rompak, samun dan sebagainya terus menerus berlaku. Bukan tiada pembanterasan dan pencegahan daripada kerajaan namun sejauh mana pembanterasan dan  pencegahan itu memberi impak yang mendalam kepada masyarakat.
Oleh sebab itulah, Islam telah menggariskan segala-galanya, pendidikan Islam dalam silibus pendidikan sekolah khasnya perlu dimasukkan kdalam mata pelajaran yang wajib lulus cemerlang bagi syarat kemasukan ke dalam pusat-pusat pengajian tinggi. Secara tidak langsung, ini akan membawakan pendidikan Islam ke aras yang lebih tinggi dalam era pendidikan negara.
Bukan niat penulis tidak bersetuju dengan sistem pendidikan Islam yang sedia ada di Malaysia, namun penulis hanya memberikan buah fikiran agar pendidikan Islam diberi mandat yang lebih besar. Penulis sudah bosan dengan masyarakat yang sentiasa menyalahkan ibu bapa apabila anak-anak mereka melakukan kesalahan. Sememangnya benar, ibu bapalah yang akan membentuk anak-anak mereka sama ada baik atau buruk. Namun dalam suasana yang penuh dengan kebejatan dunia ini, sudah pasti anak-anak akan terdedah dengan pengaruh-pengaruh buruk. Tidak dapat tidak, sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk mendidik anak-anak bangsa kita menjadi manusia.
Secara konklusinya, setiap daripada kita, ibu bapa, masyarakat dan individu perlu memainkan peranan penting dalam pendidikan Islam dan moral. Ilmu agama perlu didalami dan dipelajari dalam membina akidah yang benar-benar mantap agar kita, keluarga dan keturunan kita sekaliannya terhindar daripada kerakusan nafsu sendiri dan hasutan syaitan di hari kelak.
Teringat penulis kepada slogan baru SPRM, Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah. Perubahan yang perlu ada dalam jiwa sang muslim adalah perubahan daripada jahil kepada berilmu, kejahilan akan membawa kerosakkan di muka bumi ini, kemusnahan kerana kebebalan sang manusia yang menerima dan memberi rasuah menyebabkan peperangan memerangi rasuah akan menggapai zaman gelap, adakah kita mahu kemusnahan itu? Tidak bukan? Jika itulah jawabannya, Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

senarai blog