ISLAMIC

BISMILLAH..

S E L A M A T D A T A N G B L O G I S L A MIC

INSYALLAH BLOG INI,

dapat berkongsi dengan anda tentang ilmu islam..ilmu lagi

banyak kita ada,lagi luas pemikiran kita..insyallah..

Selasa, 1 Mac 2011

Pilihanraya Kampus : Jangan ‘Uniform’kan Pemikiran Mahasiswa

Pilihanraya Kampus : Jangan ‘Uniform’kan Pemikiran Mahasiswa


Saya bukanlah aktivis mahasiswa. Apatah lagi seorang pemimpin agung di Universiti. Walaupun kata mereka saya adalah produk kelahiran ‘Akademi Pengajian Islam’. Sudah semestinya saya mendaftar ahli seumur hidup dalam Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM).  Jawapannya tidak. Saya tidak pernah berdaftar sebagai ahli PMIUM. Namun mata yang diberi. Akal yang dikurniakan ilahi. Bukanlah sebagai aksesori untuk berdiam diri mengerti kehidupan umat di sekitar kampus. Isu-isu berbangkit bukan sebagai kosmetik kepada pihak yang bertanding merebut kerusi. Namun ia adalah rahsia yang perlu dikoreksi. Hakikat yang perlu diteliti. Kerana dengannya mahasiswa belajar erti untuk hidup berasaskan ilmu. Bukan sekadar belajar ilmu tanpa mengerti apa itu hukum alam.
Universiti mempunyai warna politiknya sendiri. Walaupun ada kepala keretapi yang mengikat dari luar kampus. Usahlah dinafikan penglibatan parti politik luar dalam meresepikan citarasa politik kampus. Walaupun kedua-dua belah pihak dari parti politik menafikan penglibatan mereka. Namun, mahasiswa tetap bijaksana. Mereka mengerti semuanya. Namun mereka masih terleka dan biarkan sahaja. Mungkin disebabkan suapan makan dan minum sudah membuatkan sendawa yang kuat. Buatkan mereka terus lena dibuai mimpi.
Mahasiswa Universiti di Malaysia merasakan tugas sebagai pelajar perlu di bilik kuliah. Perlu dihiasi dengan anggukan dan kata sokongan kepada si pemberi. Perlu kepada penghawa dingin dan kesenangan kolej untuk terus berkubur di kolej sehingga tamat pengajian. Terus menerus menghayun kipas ketidak puas hatian anda. Sedangkan di dalam diri terdapat penentangan. Di dalam hati terdapat fikiran yang diluar kotak. Namun disebabkan kotak itu adalah kotak yang teduh. Maka teruslah Mahasiswa berada di dalam kotak. Asalkan bedak di muka tidak cair dek kepanasan bercakap diluar kotak teduh.
Ada juga Mahasiswa yang mencari identity orang lain. Katanya kita mengikut majority. Katanya aku sokong Manchester United sebab ramai sokong Manchester United. Bukan sebab permainannya. Apatah lagi hendak bangun menyorak gol kepada pasukan lawan Manchester United di tengah-tengah kedai mamak yang dikelilingi penyokong Manchester United. Opss..ini bukan isu bola sebenarnya..
Mahasiswa di Malaysia merasakan untuk apakah berkata ‘Tidak’ andai terpaksa menyewa di luar kampus. Untuk apakah berkata ‘Tidak’ andai terpaksa bersusah payah menyelusuri birokrasi ‘Pejabat Hal Ehwal Pelajar’. Bukan diri ini menyuruh mahasiswa berdiri gagah di gazebo mengangkat tangan mengatakan penentangan. Bukan mendesak mahasiswa menunjukkan penumbuk tanda tidak bersetuju. Namun anda ada fikiran yang tersimpan. Anda adalah mahasiswa. Bukannya pelajar sekolah yang mendapat skim pinjaman buku teks. Bayangkan jika jiwa anak muda seperti anda wujud pada zaman Pengisytiharaan Malayan Union?..Sudah pasti padang Kelab Sultan Sulaiman lenggang dari suara kita. Yang tinggal hanya suara cengkerek dan kedai Nasi Lemak 60sen. Apatah lagi jika mahukan anda berada Dataran Tahrir!!!
Amat malang bila ada yang ‘terlajak’ bersyukur dengan katanya “kami mendapat pinjaman pendidikan dari mereka”. Bukankah jelas namanya sebagai ‘pinjaman’. Atau mungkin Mahasiswa yang menghargai erti pinjaman ini lalu kurang mengerti perkataan ‘pinjaman’ dan perlu difahami dengan ‘loan!!’. Ada yang berkata “kami mendapat biasiswa”. Sedangkan dia terlupa biasiswa yang ditanggung Allah Taala sepanjang hidupnya. Namun sering kali dia mengatakan ‘tidak’ pada ketetapan Allah. Bukankah kepada Allah selayaknya disyukuri. Tahniah kepada Mahasiswa yang terus berdiri sebagai insan yang lembut urat leher untuk menyatakan ‘YES’ walau anda tidak bersetuju. Semuanya angkara subjek ‘syukur’ yang anda pelajari. Tahniah kerana bersyukur tidak pada tempatnya.
Penulisan ini bukan mengherdik. Namun cuba mencari erti niat dihati. Apakah yang dihajati buatkan kita menutup mulut-mulut mahasiswa yang cerdik pandai. Sehinggakan kita memaksa mahasiswa mengenakan uniform yang sama dengan kita. Sehingga Uniform itu lusuh, kotor, koyak, luntur dan lesu itu terus dipakaikan kepada generasi anak Umat kita. Apakah uniform pemikiran itu perlu lagi? Adakah uniform pemikiran itu yang menjamin kelestarian kemajuan Ummah. Itu anak-anak yang akan membangun Negara. Bukan anak-anak yang sekadar menjadi pekerja suruhan. Tetapi Mahasiswa adalah bakal pembuka jalan pemikiran. Bukan hanya mengikut peta yang dilakar anda. Namun Mahasiswa adalah pembuka juga peneroka!!.
Hormatilah pemikiran mahasiswa. Cukuplah pengajaran kisah pembunuhan Hang Nadim itu menjadi sejarah buruk dunia intelek orang muda. Apalah gunanya kita menyatakan bekerja keras meniru idea gagasan institusi pendidikan di Barat sana. Katanya dunia penyelidikan di sana jauh lebih terbuka. Dunia penyelidikan di sana penuh dengan mahasiswa yang ‘hidup’. Bukan mahasiswa yang ‘lesu’. Namun dalam isu kebebasan mahasiswa melawan arus kita mengambil pendekatan dunia komunis. Jangan salahkan Chin Peng andai kita sendiri mewarisi pemikirannya.
Kepada mahasiswa yang hanya membawa bendera ‘Tidak’. Kita bukannya pengikut rentak ‘orang luar’ disana. Bukan semuanya perlu ditidakkan. Bukan semuanya perlu didemonstrasikan. Bukan semuanya perlu diwala’kan. Anda punya jatidiri. Apalah bezanya kita jika kita mengajak mahasiswa berfikiran di luar kotak. Namun kita juga beralih untuk berfikir mengikut kotak ‘orang di luar’ sana. Bukankah anda itu mahasiswa. Bukan anda yang menuruti kata-kata mereka. Namun mereka yang sepatutnya tunduk hormat diatas kata pemikir dari orang muda bergelar mahasiswa.
Saya mengerti siapalah saya disini. Hanya seorang Imam Kampung yang tidak punya sebarang jawatan tinggi. Namun, inilah rasa hati seorang bekas Mahasiswa.
Sempena Maulidurrasul ini, marilah kita mengikut Modul Pendidikan  dan cara berfikirnya pemimpin Agung Nabi Muhammad SAW. Ia sentiasa memberi peluang dan mendengar pandangan para sahabat. Ia tidak hanya memikirkan nasib Para Sahabat yang berada di hadapannya. Namun sentiasa mengingati nasib umat masa hadapan walau 1400 tahun lamanya. Sedangkan kita hanya berfikir bagaimana nasib kita sehingga datangnya usia pencen kita. Rugilah kita mengarahkan mahasiswa berarak keliling kampus berselawat menyatakan kecintaan kepada Rasul. Andai cara berfikir seperti Kekasih Allah itu sengaja tidak diadaptasikan.
Sudah-sudahlah mengenakan uniform untuk mahasiswa. Mereka sudah beruniform sejak dari bangku tadika lagi. Kini masanya membebaskan mereka dari sebarang uniform. Mereka adalah golongan yang layak memilih baju mana sesuai dikenakan kepada tubuh sasa mereka. Ya Allah…pimpinlah generasi anak muda kami dari insan yang menyayangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

senarai blog