ISLAMIC

BISMILLAH..

S E L A M A T D A T A N G B L O G I S L A MIC

INSYALLAH BLOG INI,

dapat berkongsi dengan anda tentang ilmu islam..ilmu lagi

banyak kita ada,lagi luas pemikiran kita..insyallah..

Jumaat, 5 November 2010

Tok Bilal Seperti Bilal bin Rabah R.A.

Riuh di langit kelihatan burung-burung mula mencari kediaman. Di celahan bangunan yang usang. Di sebalik kesibukan masyarakat cina Pulau Pinang, kedengaran dari corong-corong masjid suara yang agak menyentuh hati. Itulah laungan yang mengisyaratkan masuknya waktu Maghrib.
IM Nuri melaungkan azan ketika Kemuncak Imam Muda – Gambar ihsan Demotix.Com
Suara azan yang menyumbat ke dalam lorong telingaku amat menyentuh. Laungan azan ini kalau diberi markah pada tajwidnya mesti tak lulus. Suara alunan dari surau nan di cerok-cerok bangunan cina lama. Masjid usang yang sudah lama dilaungkan azan. Di celahan Chulia Street Penang yang penuh dengan pub-pub, bar dan mungkin terselindung di sebaliknya pusat pelacuran. Sayu-sayu kedengaran suara azan. Aku pasti, dari lenggok suara, harakat, jawabul jawab dan burdahnya, aku dapat mengagak suaranya muncul dari lidah muslim yang berketurunan India. Atau kita di sini memanggilnya ‘mamak’ atau ‘mapley’.
Aku tahu suaranya, burdah yang tiada langsung, apatah lagi tajwid dan lahjah arab yang jauh dari skema pemarkahan sebenar boleh membuatkan beliau tewas sekiranya tok bilal tersebut menyertai pertandingan azan. Tapi aku terpaku…Aku teruja dengan suara azan tadi…
Walaupun tiada skil dalam melagukan azan, aku terasa seram sejuk…habis naik meremang bulu roma di leher. Jauh terasa benar-benar sang muazzin seorang yang amat ikhlas laungannya. Walau di tengah-tengah kota maksiat, walaupu beliau mengetahui suaranya tidak seindah suara Mawi ketika berqasidah, namun atas dasar mengagungkan sunnah, mengajak hati-hati muslim agar datang menunaikan solat secara berjemaah, sang muazzin tanpa segan silu melaungkan azan.
Jadi teringat kembali kisah menyayat hati para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam iaitu Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anhu
Sejarah melakarkan dari sebahagian ulama mengatakan Bilal tidak mengazankan bagi sesiapapun sesudah wafatnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kecuali pada satu hari iaitu ketika ia kembali dari Syam.
Sudah sekian lama Bilal tidak mengalunkan azan. Tetapi atas permintaan beberapa orang sahabat, beliau pun turut azan.
Bumi Madinah amat merindui suara Bilal. Sudah sekian lama mereka merindui suaranya. Suaranya mengenangkan kembali akan Rasulullah SAW. Hati mereka diusik kerinduan yang mendalam kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sehingga sebahagian sahabat berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah membangkitkan kerinduan mereka untuk melihat wajahnya”. Bilal sudah meresapkan rasa rindu dalam hati mereka terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sehinggakan ramai para sahabat tidak mampu menahan sebak lalu mengalirkan airmata.
Airmata mereka sangat bernilai. Sangat hebat tangisan mereka sehinggakan kanak-kanak, wanita yang selama ini tidak pernah keluar dari rumah mereka, masing-masing keluar untuk mendengar suara Bilal semata-mata untuk mengenangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
Tatkala Bilal sampai kepada kalimat ‘Asyhadu anna Muhammad ar-Rasulullah’…Bilal terhenti kerana terharu teringatkan akan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sehinggakan beliau tidak mampu meneruskan azannya. Sebahagian sahabat menceritakan bahawa Bilal bukan sahaja berhenti, malah jatuh tersungkur tidak sedarkan diri kerana cinta dan teramat rindunya pada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
Itulah kisah yang amat memilukan hati…betapa cinta dan rindunya mereka dengan pemergian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Betapa hebatnya azan dari suara-suara yang penuh dengan segunung keikhlasan sehingga mampu membuatkan sekelian manusia menitiskan airmata….sehingga mampu menggegarkan hati-hati kerinduan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Di manakah kan ku cari suara azan sebegini di bumi Malaysia? Walaupun tidaklah sehebat Bilal bin Rabah….namun cukuplah sekadar mencuit hati ini, mendatangkan kerinduan kepada Junjungan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

senarai blog