ISLAMIC

BISMILLAH..

S E L A M A T D A T A N G B L O G I S L A MIC

INSYALLAH BLOG INI,

dapat berkongsi dengan anda tentang ilmu islam..ilmu lagi

banyak kita ada,lagi luas pemikiran kita..insyallah..

Jumaat, 29 Oktober 2010

Alumni: Rahsia kejayaan Asyraf

Alumni: Rahsia kejayaan Asyraf

Oleh Rosniza Mohd Taha
BERITA HARIAN
2010/08/19

Foto
ASYRAF MOHD RIDZUAN Imam Muda yang memiliki keyakinan tinggi serta mudah bergaul dengan pelbagai golongan dan kaum.
KETINGGIAN ilmu, kepetahan berhujah, keyakinan tinggi serta mudah bergaul dengan pelbagai golongan memberi kelebihan kepada Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, menjuarai program realiti Astro Oasis, Imam Muda.
Kriteria yang diharapkan mampu memecah tradisi bukan saja diperoleh menerusi pelbagai ujian dan pendedahan sepanjang 10 minggu menyertai program, malah dibangunkan sejak bergelar mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Lazimnya, graduan membangunkan kemahiran itu menerusi pembabitan aktif persatuan dan kelab universiti, tetapi beliau mengambil pendekatan berbeza dan aktif menyertai badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas pergaulan.
“Di universiti saya tidak terlalu aktif berpersatuan kerana turut berkhidmat sebagai imam sementara di Masjid Desa Petaling selain aktif mengikuti program NGO.
“Saya tidak menyertai NGO tertentu secara khusus, sekadar mengikuti program mereka termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia yang banyak mengadakan program berunsur keagamaan.
“Menerusi program sedemikian, saya bergaul dengan golongan dewasa dan bertukar fikiran secara matang selain berkongsi pengalaman,” katanya.
Walaupun mengikuti bidang agama, Muhammad Asyraf rajin bergaul dengan pelajar pelbagai latar belakang di kampus termasuk dalam kalangan bukan Muslim dan membincangkan pelbagai isu semasa bersama.
“Saya tidak membataskan pergaulan sesama Muslim saja, malah turut mesra dengan pelajar bukan Islam. Pergaulan ini memberi peluang saya mendalami persepsi mereka mengenai pelbagai isu semasa.
“Amalan berbincang dan bertukar pendapat ini juga antara faktor membolehkan saya tidak gugup berhadapan umum untuk berhujah dan menjalankan tugas sebagai imam walaupun tidak pernah menyertai aktiviti pidato mahupun debat.
“Buku juga menjadi teman setia saya, janggal rasanya jika ke mana-mana tanpa buku di tangan. Pembacaan berterusan penting selain memudahkan kita bergaul,” katanya.
Mengenai program Imam Muda, Muhammad Asyraf berkata, program bukan sekadar pendedahan kepada peserta, malah meningkatkan kesedaran dan kefahaman umum mengenai peranan sebenar Imam dalam masyarakat.
“Selama ini, sebahagian besar masyarakat menganggap Imam sekadar bertugas di masjid, namun program ini berjaya memberi pendedahan peranan sebenar Imam dalam memimpin masyarakat termasuk apabila ada slot mendekati Mat Rempit.
“Apabila kesedaran ini berjaya dicetuskan, mudah bagi Imam melangkah jauh melaksanakan peranan sepenuhnya tanpa disekat ‘suara’ yang sebelum ini membataskan peranan Imam dalam hal tertentu dan di masjid saja,” katanya.
Foto
Sangkal tanggapan imam sekadar bertugas di masjid
Asyraf selebriti agama yang dihormati dan disegani di antarabangsa
PROGRAM realiti Imam Muda yang mencapai rating lebih 900,000 penonton serta mendapat liputan pelbagai media antarabangsa termasuk BBC World, CNN dan Al-Jazeera. Inisiatif penganjur menjadikan pesertanya terutama juara, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan sebagai selebriti agama yang dihormati dan disegani.
Bagi Muhammad Asyraf, populariti itu tanggungjawab besar baginya untuk terus menunjukkan contoh yang baik serta memanfaatkannya untuk menarik lebih ramai belia mengikuti sunnah Rasullullah SAW.
Beliau juga tidak mahu status itu membuatkan dia dilihat sebagai individu yang sukar didekati, sebaliknya memudahkannya mendekati masyarakat.
“Kalangan peserta Imam Muda tidak menganggapnya sebagai masalah. Semua peserta dapat melaksanakan tugasan dengan baik terutama ketika menjayakan aktiviti bersama masyarakat menerusi Kelab Imam Muda.
“Sasaran utama kami golongan muda dan aktiviti dijalankan nanti bersesuaian selera dan minat mereka seperti sukan, rekreasi, kesenian dan motivasi dan pada masa sama diselitkan unsur dakwah dan keagamaan.
“Contohnya, apabila bermain futsal, permainan boleh dihentikan seketika apabila masuk waktu solat dan mengajak mereka menunaikan tanggungjawab di gelanggang sebelum permainan disambung. Ini secara tidak langsung menyedarkan mereka ibadat wajib perlu diutamakan dalam menjalani kehidupan harian,” katanya.
Namun, katanya, dalam tempoh setahun beliau perlu menumpukan kepada penyediaan tesis bagi melengkapkan pengajian Sarjana Syariah di Universiti Malaya selain memenuhi jemputan menerusi Astro serta terus berkhidmat sebagai Imam Masjid Desa Petaling

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

senarai blog