Indahnya Senyuman Orang Agama
Posted by Imam Muda Asyraf on October 7th, 2010
Kempen Dakwah Dengan Senyuman
Saya terbaca buku karangan penulis terkenal Dale Carnegie yang berjudul ‘How To Win Friends and Influence People’. Kalau dalam bahasa Melayunya bertajuk ‘Bagaimana Hendak Mendapat Kawan dan Mempengaruhi Seseorang’. Namun ada sesuatu yang menarik dapat dikongsi di sini adalah apabila beliau membincangkan tajuk berkenaan bagaimana mendapatkan tanggapan pertama yang baik.
Ada isu yang dibangkitkan menunjukkan kecantikan sesuatu terhasil daripada penulis yang sebenarnya lebih ‘Islam’ daripada Muslimnya penganut Islam khususnya di Malaysia. Tanggapan pertama yang dimaksudkan beliau ialah ‘senyuman’.

Charles Schwab berkata bahawa senyuman adalah lebih bernilai daripada sejuta dolar. Senyuman membuatkan manusia gembira. Sedangkan anjing lagi menyalak,’meloncat’, menggerak-gerakkan ekornya kerana memerhatikan senyuman kita, inikan pula manusia.
Mungkinkah orang mengatakan senyuman yang dilahirkan itu hanyalah senyuman yang sengaja dibuat-buat? Tidak! Anda tidak mungkin boleh membohongi seseorang dengan senyuman yang sengaja dibuat-buat. Senyum yang terbit dari hati dan jiwa merupakan suatu aset yang cukup mahal harganya di dunia ini.
Seorang pengurus bahagian perjawatan di sebuah pasar raya besar di New York pernah berkata bahawa beliau lebih suka mengambil jurujual yang tidak mempunyai pendidikan, tetapi boleh tersenyum dengan mesra, berbanding seorang gadis yang berpendidikan dengan wajahnya yang muram.
Rahsia mad’u atau orang yang didakwah menyukai kita adalah apabila orang yang ingin bertemu dengan kita merasakan bahawa kita gembira untuk bertemu dengannya.
Seorang hartawan ketika menceritakan rahsia kejayaan perolehan wang yang ia miliki berkata bahawa, “Sejak dari zaman awal ia bekerja ia bangun pagi dengan senyuman. Ia menegur sapa jirannya yang keluar dari rumah dengan selamat pagi. Menaiki bas dengan ucapan “bagaimana dengan kerja anda?” Kepada pemandu bas. Menyapa tukang cuci dengan ucapan “bagaimana kesihatan anda”. Dan melemparkan senyuman untuk semua staf di tempat kerja. Semua rakan mudah menceritakan masalah mereka kepada saya. Kini saya sedar bahawa wajah yang mesra sentiasa riang dan gembira dengan kata-kata yang mesra mempunyai kesan yang besar. Malah ia juga telah menambahkan keuntungan saya dalam bentuk wang!”
Bagaimana jika kita tidak berasa hendak tersenyum? Apa yang perlu kita lakukan? Di sini terdapat dua perkara yang boleh kita cuba. Pertama: Paksa diri kita supaya tersenyum. Jika kita berseorangan paksa diri kita untuk mengalunkan melodi atau menyanyi. Lakukan seolah-olah kita sedang bergembira, dan perlakuan itu semua bertujuan untuk menunjukkan kita gembira. Dr William James, ahli psikologi dan falsafah menunjukkan caranya:
“Perlakuan seolah-olah lahir setelah adanya perasaan, tetapi dalam keadaan sebenar, perlakuan dan perasaan berlaku serentak. Oleh itu dengan menggerakkan perlakuan yang banyak dipengaruhi oleh keinginan, kita secara tidak langsung akan menggerakkan perasaan. Dengan itu suatu cara yang dapat membantu mewujudkan keriangan, jika keriangan kita hilang ialah dengan melahirkan keriangan dan bersikap serta menyuarakannya seolah-olah keriangan itu telah sedia wujud”.
Pujangga Shakespeare. “ Tidak ada sesuatu yang baik atau buruk, melainkan pemikiran yang membentuknya”.
Itu kisah dari orang barat. Bagaimana pula dengan petunjuk dari Junjungan Mulia Nabi SAW. Adakah senyuman plastik yang dilemparkan oleh baginda. Sudah tentu tidak. Kerana mana mungkin senyuman buatan itu mampu mencairkan ramai penduduk Makkah dan Madinah.
Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam telah meluluhkan hati sesiapa saja dengan senyuman baginda. Baginda mampu “menyihir” hati dengan senyuman. Baginda menumbuhkan harapan dengan senyuman. Baginda mampu menghilangkan sikap keras hati dengan senyuman. Dan baginda saw. mensunnahkan dan memerintahkan umatnya agar menghiasi diri dengan akhlak mulia ini. Bahkan baginda menjadikan senyuman sebagai lahan berlumba dalam kebaikan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :
“Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah.” Al-Tirmidzi dalam sahihnya.
Diriwayatkan dari Jabir dalam sahih Bukhari dan Muslim, berkata, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah saw tidak pernah menghindar dariku. Dan baginda tidak melihatku kecuali baginda pasti tersenyum kepadaku.”
Ketika menikahkan puteri bongsunya, Sayyidah Fatimah Az Zahrah, dengan sahabat Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhuma, baginda Nabi Muhammad SAW tersenyum lebar. Itu merupakan peristiwa yang penuh kebahagiaan.
Hal serupa juga diperlihatkan Rasulullah SAW pada peristiwa Fathu Makkah, pembebasan Makkah, karena hari itu merupakan hari kemenangan besar bagi kaum muslimin. “Hari itu adalah hari yang penuh dengan senyum panjang yang terukir dari bibir Rasulullah SAW serta bibir seluruh kaum Muslimin” tulis Ibnu Hisyam dalam kitab Al Sirah al-Nabawiyyah.
Satu ungkapan pepatah Cina yang baik untuk kita fikirkan dan renungi: “Seseorang yang tidak boleh tersenyum, janganlah ia membuka sebuah kedai.” Kesimpulannya, jika anda ingin supaya disukai oleh seseorang, maka :
“Tersenyumlah!!!”
Jika kita ingin orang yang jauh dari agama, mula mendekati agama, maka orang yang ber’title’kan agama perlulah membuatkan orang suka kepadanya disebabkan ia sebab dan punca orang mendekati agama. Maka modalnya murah sahaja iaitu :
“ Tersenyumlah!!!”
Jika, kita ingin orang bukan Islam mendekati agama Islam. Maka kita orang agama yang menjadi pengawal pintu bagi orang bukan Islam memasuki pintu Islam perlu mula belajar dengan mudah caranya iaitu :“ Tersenyumlah!!!”
Bayangkan apabila anak muda datang dengan seluar jeansnya ke masjid, maka ia mula disapa dengan kata manis seorang Imam, “anak muda yang dihormati, jemputlah masuk masjid …rumah ibadah kita bersama.”Bayangkan apabila orang tua dan uzur mengusung kaki ke saf hadapan maka kita orang agama yang agak muda menyapa, “Pakcik boleh berjalan…jom kita perlahan-lahan jalan sekali ke saf hadapan…(sambil tangannya memimpin pakcik tersebut)”
Bayangkan apabila orang non-Muslim bertanya kepada si Imam di masjid “Bolehkah saya masuk ke masjid?” Maka dijawab oleh Imam dengan penuh senyuman, “Kami sentiasa rindukan kehadiran tetamu…masuklah…di sini penuh ketenangan…anda sudah minum?”
Andai kita orang agama mahupun bukan ber’bendera’kan orang agama sentiasa tersenyum, sudah pasti ada hati yang sudah tergoda dengan senyuman ikhlas daripada iman anda. Ayuh kita senyum ke seluruh alam! Biar orang menggelarkan anda seorang yang gila kerana terlalu murah senyum, daripada orang menggelarkan anda seorang yang sombong kerana terlalu mahalnya senyuman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan