ISLAMIC

BISMILLAH..

S E L A M A T D A T A N G B L O G I S L A MIC

INSYALLAH BLOG INI,

dapat berkongsi dengan anda tentang ilmu islam..ilmu lagi

banyak kita ada,lagi luas pemikiran kita..insyallah..

Sabtu, 11 Disember 2010

Kisah Madinah dan Makkah

Tepat jam 5 pagi waktu Saudi 17 Oktober 2010. Rombongan KT 27 dari Malaysia tiba di Madinah al-Munawwwarah. Kota yang penuh ketenangan. Saya bersama rombongan yang dipimpin Rayhar Travel Sdn Bhd selaku penganjur bagi hadiah Imam Muda 2010 mula menaiki bas. Sambil memakai pakaian petugas Rayhar, sedikit sebanyak memberikan rasa tanggungjawab untuk membantu para tetamu Allah yang lain.
Madinah Bumi Yang Diberkahi

Madinah mempunyai kedudukan yang tak terhingga. Dalam hadis Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawasanya Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Ya Allah, berilah kepada kami kecintaan terhadap Madinah seperti kami mencintai Makkah atau lebih besar lagi.” (Bukhari 1889 dan Muslim 1376)
Bukti Allah mengabulkan doa RasulNya ialah, bagaimana kita lihat sehingga kini Madinah dicintai oleh setiap hati orang Muslim. Tanyalah kepada majoriti jemaah yang hadir ke bumi Madinah. Jawapan mereka sama sahaja seperti ‘copy and paste’, “Madinah bumi yang cukup menenangkan”.
Ketika jemaah rombongan kami tiba di hotel, kami diberitakan dengan pemergian seorang jemaah Haji Malaysia di bumi Madinah ini. Arwah meninggal 2 hari selepas menapak di bumi Madinah. Aduh, hati ini terasa macam sayu. Mendengar perbualan beberapa orang Madinah sendiri yang memuji-muji arwah. Kata mereka, “kami penduduk Madinah sendiri kadang-kadang ramai yang mati di luar Madinah”.
Begitulah anjuran Rasulullah sallahu alaihi wasallam agar umatnya menutup usia di kota tersebut. Beliau bersabda (maksudnya):
“Siapa yang menutup usia di Madinah, maka hendaklah dia meninggal disana, kerana aku memberi syafaat pada orang yang meninggal disana” (HR Tirmizi no. 3917 )
Raudah Yang Direbut dan Diabaikan.
Berebut-rebut jemaah mahu solat di dalam Raudah. Sehinggakan ada yang kopiahnya melayang kerana solat di laluan pejalan kaki. Raudah merupakan kedudukan yang mulia seperti mana Nabi sallahu alaihi wasallam memuliakannya. Kedudukannya terletak di antara rumah Nabi sallahu alaihi wasallam dan mimbarnya. Ianya merupakan satu taman daripada taman-taman syurga.
Mungkin dek ianya sebahagian dari taman syurga maka pada anggapan sesetengah Muslim, ‘halal’ memukul jemaah lain asalkan aku dapat solat di dalam Raudah. Tafsiran mengenai maksud Raudah ini mencakupi pelbagai dimensi. Antaranya pendapat Ibn an-Najjar yang mengatakan tempat itu sendiri akan menjadi taman syurga pada akhirat kelak. Tidak salah untuk merebut peluang berada di Raudah. Namun berasak-asak memijak kepala orang yang sedang solat, mungkin satu kesalahan besar bagi orang yang ingin mencari jalan ‘short cut’ masuk ke dalam taman syurga kelak.
Sedangkan perkataan Raudah yang dimaksudkan sebagai taman syurga itu juga digunakan pada hadis yang lain. Namun taman syurga itu dimaksudkan dengan majlis zikir (ilmu). Pelik bin hairannya, tidak pula umat Islam berebut hendak masuk ke dalam majlis zikir (ilmu) sehingga menyiku-nyiku Muslim yang lain. Jemaah dari Malaysia pun tidak ketinggalan. Sedangkan terkenal di Bumi Malaysia Boleh ini, masjid dan kuliah ilmunya kosong dan lengang dari para jemaah.
Pendapat Ibn Abdil Barr mengatakan maksud Raudah sebagai majlis zikir (ilmu) adalah dikuatkan dengan hadis Rasulullah sallahu alaihi wasallam yang bermaksud: “Apabila kamu melalui salah satu Taman Syurga, hendaklah kamu berhenti”. Sahabat lalu bertanya apakah Taman syurga itu? Rasulullah sallahu alaihi wasallam menjawab : Majlis zikir (majlis ilmu)” (ad-Durrah ath-Thaminah 134)
Bayangkan non Muslim Masuk Ke Masjidil Haram
Bila menjejakkan kaki ke dalam Masjidil Haram, sambil melakukan tawaf, hati terdetik melihat gelagat jemaah haji dari seluruh dunia dengan aktiviti mengumpul koleksi ‘berkat’ mereka.
Kita akui kemuliaan Hajar Aswad. Namun, andai orang bukan Islam melihat gelagat mencium Hajar Aswad, pasti mereka mengatakan “Yes, Islam is Terrorist!!!
Menciumnya adalah sunat. Namun menolak, menumbuk, memaki sesama Muslim adalah haram.
Ada yang berkata, “Aku bila sampai waktu tawaf dan mencium Hajar Aswad aku keraskan badan aku. Ye la..nak lawan dengan geng-geng orang Negara lain semuanya berbadan besar.”
Kenyataan ini seolah-olah kita menunjukkan kehebatan kita, kekuatan kita di hadapan Allah SWT. Bukankah peluang berada di hadapan Kaabah yang mulia adalah peluang untuk kita merendahkan diri dengan sifat tawadhu dan lemah lembut dengan semua jenis makhluk. Mungkin ia terlupa motif wajibnya dikenakan dam bagi orang yang merosakkan pokok dan memburu haiwan di Tanah Haram!…Kata mereka “Itu pokok…bukannya orang..pukul je laa…”
Mengusap-usap Kaabah
Wah. Teknologi semakin canggih. Namun pemikiran kita masih terkebelakang. Mengambil serban, sejadah, kopiah diusap-usapkan di Kaabah. Kononnya keberkatan kesan sapuan itu boleh dibawa balik ke kampung mereka dengan penuh keberkatan. Apatah lagi hujan yang turun di Mekah. Air yang mengalir yang melekat dengan serban mereka pun disimpan dan tidak dibasuh serban tersebut. Sebenarnya perbuatan mengusap-usap Kaabah dan tempat-tempat tertentu merupakan satu perbuatan bidaah qabihah. (rujuk buku Soal Jawab Haji keluaran Tabung Haji Malaysia)
Namun masih gagal difahami oleh sebahagian jemaah Malaysia yang mungkin masih belum cukup agaknya kursus Haji yang berbulan-bulan itu.
Begitu juga perbuatan mengusap-usap Maqam Ibrahim. Sedangkan ianya disunnahkan untuk disolati di belakangnya. Bukan diusap.
Ibn Zubair pernah mendatangi sekelompok orang yang mengusap-usap Maqam lalu berkata (maksudnya):
“Sesungguhnya kalian tidak pernah diperintahkan untuk mengusap-usapnya, kamu hanya diperintahkan untuk solat di belakangnya” (Musannaf Ibn Abi Syaibah 4:61)
Juga pendapat yang lebih tegas daripada Imam Nawawi, Imam dalam mazhab asy-Syafie, mengatakan “Maqam Ibrahim tidak boleh dicium dan disentuh, perbuatan itu adalah bidaah (rujuk al-Idhah fi Manasik al-Hajj hal 133)
Kesimpulan
Banyak lagi kisah yang perlu dibincangkan di sebalik pelaksanaan Haji di Tanah Haram. Hasil dari perjalanan jauh ini, kita yang serba kerdil dan kekurangan merasakan banyak pengajaran yang boleh diambil iktibar sepanjang berada di Tanah suci Mekah dan Madinah. Namun secebis perkongsian ini merupakan titik awal kembara menuntut ilmu yang penulis cuba redahi…Mekah dan Madinah…aku merinduimu…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular

senarai blog